KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mencadangkan agar satu Forum Ekonomi Khas diadakan khusus untuk Bahagian Sri Aman bagi membincangkan potensi dan hala tuju pembangunan ekonomi di kawasan tersebut.
Ujarnya, forum ini penting bagi menghimpunkan golongan intelektual, anak jati Simanggang yang berjaya serta pakar pelbagai bidang untuk meneroka peluang baharu yang muncul hasil pelaburan besar kerajaan negeri dalam infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan dan pembangunan tebingan sungai.
“Kita jangan hanya jadi pemerhati. Kita mesti berfikir ke hadapan dan manfaatkan pembangunan yang sedang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Anak Perantau Simanggang (APS) di Dewan Hikmah, Kuching pada Sabtu.
Tambah beliau, peluang ekonomi baharu dalam sektor pertanian moden dan pelancongan boleh diteroka dengan penggunaan teknologi terkini, selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030.
Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut menyeru anak-anak perantau dari Sri Aman agar kembali menyumbang idea dan kepakaran demi memacu transformasi ekonomi kawasan mereka.
Hadir sama,Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak(Perancangan Ekonimi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Setiausaha Keewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Ahli Parlimen Batang Lupar,Mohamad Shafizan Kepli,Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Lingga, Norazah Awang Sohor, Pengerusi Anak Perantau Simanggang, Datu Kameri Affandi, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta Dif-Dif Kenamaan yang lain.-EDISI UKAS