LUBOK ANTU: Sebanyak tiga projek jalan di kawasan ini telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik sempena Program Segulai Sejalai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Bersama Ketua Masyarakat Rumah Panjang David Ujan, pada Khamis.
Penyerahan projek tersebut melibatkan Projek Jalan Sebeliau-Bilararap yang berjumlah RM215.41 juta, jalan masuk ke kawasan kampung di sepanjang Ulu Batang Ai yang bernilai RM165.8 juta dan Bukong Bypass-Engkilili yang bernilai RM29.9 juta.
Hadir menyaksikan penyerahan projek berkenaan ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi, Pengarah JKR Sarawak Ir Dr Cassidy Morris, Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Neging, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri Mikai Mandau serta tetamu kehormat yang lain.
Dalam majlis sama, Datuk Dr Malcolm turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM200,000 di bawah dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) kepada Rumah Panjang David Ujan dan tambahan RM20,000 di bawah dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nanga Sepaya.
Manakala Gerempong Indu Rumah Nanga Sepaya dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tibu masing-masing meneripa peruntukan sebanyak RM10,000.
Sementara itu, Roy turut tampil menyampaikan sumbangan kepada JKKK Nanga Sepaya dan Gerempong Indu yang masing-masing menerima RM20,000 dan RM5,000. -EDISI UKAS