Sarawak, Kanada Kukuhkan Kerjasama Dalam Pembangunan Tenaga

Disiarkan pada 11 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Kanada terus memperkukuhkan kerjasama khususnya dalam pembangunan tenaga mampan di antara kedua-dua pihak.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Jodi Robinson berkata, kedua-dua pihak kini mempunyai hala tuju yang sama iaitu untuk memastikan pembangunan tenaga yang mampan dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber yang ada bagi merangka langkah seterusnya dalam kerjasama ini.

“Kunjungan hari ini adalah untuk mengukuhkan hubungan antara Kanada dan Sarawak di mana kita mempunyai banyak persamaan dari segi kekayaan sumber tenaga dan kedua-dua pihak sangat menumpukan kepada pembangunan mampan, tenaga mampan, dan saya percaya terdapat banyak bidang di mana kita boleh bekerjasama.

“Jadi pertemuan ini adalah sebagai pengenalan untuk memahami dengan lebih baik jenis kerjasama yang diutamakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan bagaimana Kanada boleh kembali dan meningkatkan kerjasama antara Sarawak dan Kanada serta antara negara dan rakan kongsi kita,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Patinggi Abang Zohari, di Wisma Bapa Malaysia, di sini, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Jodi memberitahu, Premier Sarawak menyambut baik kerjasama ini, dengan kemungkinan kemasukan syarikat-syarikat dari Kanada untuk datang ke Sarawak pada masa hadapan untuk memulakan kerjasama dalam pelbagai bidang yang diutamakan oleh wilayah ini.

Menyentuh mengenai kerjasama dalam sektor perlombongan, Jodi menjelaskan setakat ini masih belum ada perkembangan baharu, namun beliau yakin dengan pengalaman negara beliau dalam industri tersebut, kerjasama ini dapat diteruskan.

“Tiada perkembangan buat masa ini, tetapi sudah tentu Kanada mempunyai banyak pengalaman, termasuk British Columbia, dalam bidang perlombongan.

“Oleh sebab itu, saya rasa banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama dalam industri perlombongan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS