Pelajar Luar Bandar Disaran Kuasai Bahasa Inggeris

Disiarkan pada 11 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SPAOH: Pelajar luar bandar disarankan berusaha untuk menguasai Bahasa Inggeris.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penguasaan Bahasa Inggeris akan membolehkan pelajar menghadapi cabaran dunia moden yang semakin mencabar.

"Dengan menguasai bahasa ini, anda akan dapat berkomunikasi dengan masyarakat di seluruh dunia serta mengikuti perkembangan terkini dunia.

"Peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik juga akan menjadi lebih cerah," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Program Karnival Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Gayau, di sini pada Khamis.

Enam sekolah rendah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban telah menyertai program selama dua hari itu yang bertujuan memupuk minat serta kecemerlangan dalam Bahasa Inggeris, di bawah naungan beliau.

Dalam ucapan sama, Datuk Amar Douglas Uggah turut menjelaskan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg amat komited memastikan Bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua wilayah ini.

Menurutnya, Sarawak juga kini merupakan satu-satunya wilayah di Malaysia yang melaksanakan Program Dwi Bahasa dalam sistem pendidikannya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar ibu bapa tidak ragu-ragu menghantar anak mereka ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Kuching sekiranya terpilih.

“Saya dimaklumkan ada ibu bapa enggan menghantar anak mereka ke sekolah berprestij itu kerana faktor jarak. Ini amat mendukacitakan kerana masa depan anak-anak bergantung kepada tahap pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris yang baik,” ujarnya.

Menyentuh mengenai cadangan penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Betong di bawah Yayasan Sarawak pula, beliau memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak masih mencari lokasi yang paling strategik untuk pembinaannya.

Selain itu, Datuk Amar Douglas Uggah turut mengumumkan bahawa tender untuk pembinaan dewan baharu dan lebih besar di SK Nanga Gayau dijangka dibuka bulan depan, dengan kos anggaran RM900,000.

Beliau juga mendedahkan bahawa jalan akses baharu bernilai RM300,000 sedang dibina untuk sekolah tersebut, manakala sebanyak RM2.7 juta telah diluluskan untuk pembinaan jejambat ke sekolah yang merentasi Lebuhraya Pan Borneo.

Tambahnya lagi, Agensi Pembangunan Bahagian Betong telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk membantu pembangunan semua sekolah dalam kawasan Bukit Saban.

Terdahulu semasa berucap, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu juga menyeru para pelajar supaya memupuk rasa cinta terhadap Bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris bukan sekadar satu mata pelajaran dalam jadual waktu harian. Cintai, kembangkan, dan amalkan penguasaannya.

“Ia adalah kunci untuk membuka banyak pintu peluang kerana ia merupakan bahasa global,” ujar beliau.

Turut hadir dalam program itu ialah Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abunawas dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Dr Les Met.-EDISI UKAS