Kerjasama Strategik Sarawak Water & Curtin Malaysia Serlahkan Komitmen Pendidikan Alam Sekitar

Disiarkan pada 10 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Komitmen terhadap pendidikan alam sekitar dan kelestarian sumber air dizahirkan menerusi penganjuran Sambutan Hari Air Sedunia 2025 yang berlangsung di Loji Rawatan Air Lambir, pada Khamis.

Program yang dianjurkan oleh Sarawak Water Sdn. Bhd. dengan kerjasama strategik Universiti Curtin Malaysia itu menghimpunkan lebih 250 peserta daripada kalangan pelajar, guru, agensi kerajaan, wakil komuniti dan orang awam, sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan air bersih dan perubahan iklim.

Pengerusi Penganjur, Ir. Ts. Gs. Dr. Geoffrey Ranggu menegaskan, walaupun Sarawak tidak memiliki glasier seperti yang ditekankan dalam tema global tahun ini, kesannya tetap dirasai melalui perubahan pola hujan dan gangguan sumber air.

“Kesedaran terhadap perubahan iklim dan pemeliharaan sumber air perlu dipupuk di peringkat akar umbi agar masyarakat lebih prihatin dan bertindak secara kolektif,” jelasnya.

Ketua Pegawai Operasi Curtin Malaysia, Sharon Chong dalam ucapannya pula menyifatkan sambutan ini sebagai platform penting dalam menjalin hubungan antara industri dan akademia.

Beliau menegaskan bahawa usaha mempromosikan air bersih seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG 6) dan komitmen universiti terhadap kesejahteraan global.

Antara pengisian program termasuk lawatan ke loji rawatan air dan pameran, pertandingan kuiz konservasi air, tayangan montaj serta cabutan bertuah.

Acara ini bukan sahaja menyemarakkan semangat sambutan Hari Air Sedunia, tetapi juga mengukuhkan kerjasama antara sektor pendidikan dan pengurusan utiliti air demi masa depan lebih lestari.-EDISI UKAS