Sambutan Aidilfitri Cerminkan Semangat Kebersamaan Yang Semakin Kukuh

Disiarkan pada 09 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sambutan Aidilfitri kali ini memberi gambaran yang jelas tentang semangat perpaduan dan kerjasama yang semakin kukuh antara masyarakat, pemimpin dan agensi kerajaan.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, perayaan ini bukan sahaja mempereratkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama antara semua pihak dalam usaha untuk membangunkan Sarawak ke arah yang lebih maju.

Menurutnya, semangat kebersamaan seumpamanya harus diteruskan, demi merealisasikan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, yang hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara semua pihak.

"Aidilfitri memberikan ruang untuk semua pihak, tidak kira latar belakang, untuk bersatu padu dalam semangat kasih sayang dan persaudaraan.

"Saya yakin bahawa kerjasama yang erat antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), adalah kunci kejayaan dalam mencapai matlamat pembangunan yang lebih inklusif dan mampan,"tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N9 Padungan, di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.

Hadir sama ialah Setiausaha Eksekutif Parti PBB Sarawak Datuk Awang Bujang Awang Antek, Pengerusi SUPP Cawangan Kuching N9 Padungan Datuk Lily Yong, wakil Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Kaunselor Eric Tay Tze Kok dan Timbalan Datuk Bandar MBKS Dato Zaiedi Suhaili.

Turut hadir, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Ketua Cawangan PBB N9 Padungan Ir. Haidel Heli, Penghulu Padungan Ismail Samsudin Puteh, Ketua Kaum Jalan Mendu Hashim Kipli serta jemputan yang lain. -EDISI UKAS