Festival Kebudayaan Dayak Kapit 2024 Padat Pelbagai Aktiviti

Disiarkan pada 10 May 2024
Sumber Berita: UKAS


KAPIT: Pelbagai aktiviti telah diatur bagi memeriahkan Festival Kebudayaan Dayak Kapit (KDCF 2.0) 2024 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 26 Mei ini.
 
Pengerusi KDCF 2.0 2024 yang juga Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut berkata festival selama lapan hari itu menjadi platform dalam mengetengahkan kebudayaan dan keseniaan kaum Iban di Kapit agar dapat dikenali oleh kaum-kaum lain di Sarawak.
 
Menurut beliau, penganjuran edisi kedua KDCF itu rentetan sambutan menggalakkan diberikan terhadap edisi pertama pada 2023 di mana tidak kurang daripada 80,000 pengujung memeriahkan festival berkenaan sepanjang dua minggu ia dilaksanakan.
 
“Objektif utama KDCF ini adalah untuk kita mengekalkan dan mewarisi budaya seni serta adat Iban yang harus dikekalkan dari turun temurun supaya adat-adat asal, kesenian serta produk asal tradisional tidak akan pupus atau dilupakan oleh generasi yang akan datang.
 
“Setiap program yang dirancang sepanjang program ini berlangsung adalah yang berkaitan rapat atau berasaskan kesenian dan budaya asal contohnya seperti berpantun, beramban, nimang, pertandingan membuat kuih tradisional serta pembuatan kraftangan produk tradisional seperti baju burung dan produk anyaman lain.
 
“Objektif kedua seterusnya program ini adalah sebagai penggerak utama untuk mempromosikan kebudayaan, kesenian dan produk-produk pelancongan yang lain agar dapat meningkatkan ekonomi penduduk dari hasil pembuatan produk tradisional seperti Kain Kebat, Baju Burung serta banyak lagi.”
 
Beliau berkata demikian semasa temubual khas bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kompleks Kerajaan Negeri di Kapit baru-baru ini.
 
Katanya, tumpuan utama KDCF 2.0 pastinya program ‘Niti Daun’ atau perarakan beramai-ramai dengan menggunakan pakaian tradisional budaya masing-masing.
 
Tambah Cerisologo, pihaknya menjangkakan peningkatan penyertaan peserta dalam program ‘Niti Daun’ kali ini di mana setakat ini sebanyak 25 pasukan telah menghantar penyertaan.
 
Menurut beliau, program tersebut akan diadakan serentak semasa pelancaran KDCF 2.0 pada 19 Mei di Town Square Kapit bermula jam 4 petang.
 
Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat serta tetamu kehormat yang lain.
 
Manakala majlis penangguhan KDCF 2.0 akan dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit Datuk Sri Alexander Nanta Linggi pada 26 Mei nanti.
 
“Program sebegini juga sebagai platform untuk para pembuatan kraftangan meningkatkan atau mempromosikan hasil kraftangan mereka ke pasaran yang lebih tinggi seperti ke peringkat nasional dan seterusnya ke peringkat antarabangsa.
 
“Objektif ketiga KDCF ini adalah untuk mewujudkan perpaduan, persafahaman dan kesatuan di antara kaum dan masyarakat kerana semasa program ini berlangsung semua kaum khususnya di sekitar Kapit dijemput datang beramai-ramai untuk mengambil bahagian serta menyaksikan setiap program yang berlangsung,” katanya.
 
Katanya, pada sebelah malam pelbagai aktiviti juga turut berlangsung sepanjang festival untuk memeriahkan Kapit seperti persembahan kebudayaan dan nyanyian dari artis tempatan. - EDISI UKAS