KAPIT: Sebanyak RM355,000 disalurkan kepada 28 persatuan komuniti, pertubuhan dan jawatankuasa kampung menerusi majlis penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) anjuran Pusat Khidmat ADUN Bukit Goram yang pada Selasa.
Majlis yang dihadiri seramai 30 orang itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh di kawasan luar bandar, khususnya di Kapit.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu turut menyeru agar peruntukan yang diberikan digunakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Dana yang diserahkan akan digunakan bagi membiayai pelbagai keperluan seperti baik pulih infrastruktur, aktiviti keagamaan, kebajikan serta pembangunan komuniti.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Watson Awan; Setiausaha Politik kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia, Ambrose Abong; Ahli Majlis Daerah Kapit, Cr. Judson Jarrau serta beberapa pemimpin masyarakat.-EDISI UKAS