Persiapan Sambutan Aidilfitri Perdana 2025 UiTM Cawangan Sarawak Giat Dilaksanakan

Disiarkan pada 09 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Persiapan bagi Sambutan Aidilfitri Perdana 2025 yang bakal dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak kini sedang giat dilaksanakan oleh seluruh warga kampus.

Majlis yang dinanti-nantikan saban tahun ini akan menjadi lebih istimewa apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijangka berkenan menghadiri majlis berkenaan pada malam ini.

Menurut penyelaras program, pelbagai persiapan sedang dijalankan termasuk penyusunan atur cara majlis, penyediaan gerai makanan tradisional, persembahan kebudayaan dan hiasan lokasi yang mencerminkan suasana Aidilfitri penuh kemeriahan.

Semua jabatan dan fakulti turut terlibat secara aktif dalam memastikan kelancaran majlis ini.

Sambutan ini bukan sahaja bertujuan meraikan Hari Raya Aidilfitri, malah menjadi platform mempererat silaturrahim dalam kalangan warga kampus serta mengukuhkan jalinan kerjasama dengan komuniti luar.

Majlis dijadualkan berlangsung dalam suasana penuh adat dan tradisi pada malam ini akan menampilkan keunikan budaya masyarakat Sarawak dan semangat perpaduan yang menjadi teras UiTM Cawangan Sarawak. -EDISI UKAS