KUCHING: Penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa perlu terus diperkasakan dalam usaha pembangunan atlet tempatan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha ini penting dalam melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan tanahair.
Jelasnya, penganjuran kejohanan besar juga mampu merancakkan ekonomi setempat seperti penginapan, restoran dan perkhidmatan sokongan.
“Kita mahu lihat lebih banyak kejohanan sukan peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa diadakan di Kuching, bukan sahaja untuk pembangunan atlet, tetapi juga untuk memberi pengalaman teknikal kepada pegawai tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Pusingan Akhir Kelayakan Asia Oceania 2025 – Tenis Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) (Lelaki Bawah 14 Tahun) yang sedang berlangsung di sini pada Selasa.
Datuk Gerald menambah, sebanyak enam kejohanan tenis akan dianjurkan tahun ini, termasuk dua kejohanan antarabangsa, dengan tiga lagi dijadualkan menjelang hujung tahun.
Beliau turut menyatakan harapan agar pemain muda Sarawak berpeluang mewakili Malaysia dalam kejohanan seperti ini, sekaligus menjadikan negeri ini penyumbang utama bakat tenis negara.
“Saya ingin lihat anak Sarawak beraksi dalam kejohanan di tanah sendiri, mewakili negara. Ini peluang terbaik,” katanya.
Datuk Gerald turut mendedahkan bahawa Kuching kini menjadi tumpuan pasukan luar negara seperti dari Singapura, Indonesia dan Sabah yang memilih bandar ini sebagai pusat latihan, menjadikan sukan sebagai pemacu pelancongan.-EDISI UKAS