Perancangan Penempatan Semula Di Sungai Plan Segera Dilaksanakan

Disiarkan pada 09 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Tragedi kebakaran yang memusnahkan 17 buah rumah setinggan di Sungai Plan, Jalan Tanjung Kidurong semalam telah menarik perhatian pelbagai pihak apabila satu program bantuan kecemasan telah dilaksanakan untuk membantu mangsa-mangsa terjejas.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi menegaskan keperluan perancangan penempatan semula bagi komuniti berisiko tinggi seperti di Sungai Plan harus dipercepatkan bagi memastikan keselamatan jangka panjang.

“Keutamaan kini adalah memastikan mangsa mendapat perlindungan sementara.

"Namun, perancangan untuk penempatan baharu perlu dipercepatkan bagi memastikan keselamatan jangka panjang mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program“Memacu Kehidupan Bantuan Bencana Kebakaran Sungai Plan” anjuran Malaysia LNG Sdn Bhd (MLNG), anak syarikat PETRONAS pada Selasa.

Turut hadir memberi sokongan dan bantuan ialah wakil daripada Pejabat Residen dan Daerah Bintulu, pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta pengurusan tertinggi MLNG.

Dalam pada itu, MLNG telah menyumbangkan pelbagai barangan keperluan termasuk tilam, bantal, makanan, pakaian, peralatan kebersihan dan kelengkapan sekolah.

Sumbangan awal juga telah disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat serta gereja Methodist setempat sejurus selepas kejadian.

Program ini turut menyalurkan bantuan asas kepada 93 mangsa kebakaran, yang kini kehilangan tempat tinggal, dan turut meragut satu nyawa warga emas.-EDISI UKAS