Sambung Semula Projek Pembinaan Baharu Pejabat Pentadbiran Daerah Kecil Sungai Asap

Disiarkan pada 10 May 2024
Sumber Berita: UKAS




KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta untuk menyambung semula projek pembinaan baharu Pejabat Pentadbiran Daerah Kecil Sungai Asap di Belaga memandangkan projek tersebut sudah terbengkalai sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, pembinaan pejabat tersebut belum lagi disiapkan ekoran kegagalan kontraktor untuk menyiapkannya dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Jelasnya, difahamkan, projek tersebut kini sudah mencapai 87.5 peratus siap dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 25 Disember 2022.

“Saya dapati bahawa projek ini telah ditinggal begitu sahaja sejak kontrak ditamatkan dan saya berharap ia tidak dibiarkan terlalu lama terbengkalai kerana dikhuatiri akan mendatangkan implikasi lain seperti kerosakan dan kecurian peralatan yang mana akan meningkatkan kos untuk menyiapkannya nanti,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Jumaat.

Mengulas perkara sama, beliau memberitahu, keperluan untuk mempunyai pejabat pentadbiran sendiri adalah amat mustahak memandangkan sekarang mereka terpaksa beroperasi di kuarters kerajaan yang sedia ada.

“Keadaan ini sudah pasti bukan sahaja tidak mampu menyediakan ruang pejabat yang selesa dan kondusif malah turut menyukarkan rakyat yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS