PADAWAN: Satu inisiatif pencegahan dadah telah diperkenalkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong dengan penubuhan Skuad Anti Dadah DUN Mambong sebagai usaha berterusan untuk membanteras penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat tempatan.
Skuad ini ditubuhkan dengan matlamat utama untuk menangani isu penagihan dadah yang semakin membimbangkan di kawasan DUN Mambong dengan mengambil pendekatan kolaboratif antara agensi kerajaan, pertubuhan belia dan komuniti tempatan untuk memastikan usaha ini berjaya.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil menegaskan, penubuhan skuad ini bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah, memberikan sokongan kepada individu yang terlibat dalam penagihan dadah, serta mempromosikan gaya hidup sihat tanpa dadah, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Dengan penubuhan skuad ini, ia dijangka menjadi langkah proaktif yang akan membantu menangani isu penagihan dadah di peringkat akar umbi, sekaligus membentuk masyarakat yang lebih sihat, sejahtera, dan bebas daripada ancaman dadah,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penubuhan skuad berkenaan yang diadakan di Pejabat Daerah Kecil Padawan, pada Selasa.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak Abdul Hamediee Ibrahim, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Gabriel Risut dan Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Padawan Julius Scott Sapong. -EDISI UKAS