Premier Sarawak Teruskan Tradisi Kunjungan Raya Ke Kediaman Mantan Peguam Besar Sarawak

Disiarkan pada 08 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meneruskan tradisi kunjungan Hari Raya Aidilfitri dengan mengadakan kunjungan raya ke kediaman mantan Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid pada Selasa.

Ketibaan Premier Sarawak pada jam 12.15 tengah hari disambut penuh mesra oleh Dato Sri Talat bersama isteri, Datin Sri Professor Norbani Mohamed Nazeri serta ahli keluarga beliau.

Kunjungan ini bukan sahaja memperlihatkan nilai silaturahim yang tinggi antara pemimpin tertinggi negeri dengan tokoh-tokoh yang telah banyak berjasa kepada Sarawak, tetapi juga mencerminkan budaya hormat-menghormati yang terus diamalkan dalam kepimpinan negeri.

Selepas mengunjungi kediaman Dato Sri Talat, Premier Sarawak turut meneruskan kunjungan Hari Raya ke rumah terbuka Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad.

Terdahulu Premier Sarawak turut menghadiri Majlis Rumah Terbuka TVS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebelum meneruskan kunjungan hari raya tersebut.-EDISI UKAS