Premier Sarawak & Isteri Ziarah Raya Di Kediaman Keluarga Allahyarham Pehin Sri Adenan

Posted on 07 Apr 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang meneruskan kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke kediaman Datuk Amar Jamilah Anu, isteri kepada mantan Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada Isnin.

Ketibaan beliau dan isteri sekitar jam 8 malam disambut mesra oleh Datuk Amar Jamilah bersama anaknya Azizul Annuar Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu.

Kunjungan tersebut mencerminkan hubungan silaturahim yang erat antara kepimpinan negeri dan keluarga Allahyarham Pehin Sri Adenan, serta menjadi lambang penghargaan terhadap jasa dan legasi yang ditinggalkan oleh mantan Ketua Menteri itu.

Turut hadir memeriahkan kunjungan tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta ahli keluarga terdekat.

Kunjungan diserikan lagi dengan suasana harmoni dan kemesraan yang terjalin dalam sambutan Aidilfitri, memperlihatkan semangat kekeluargaan yang terus dipupuk dalam kalangan pemimpin dan rakyat negeri ini.-EDISI UKAS