51 Pemilik Tanah Projek Jalan Sk Muara Payang Terima Pampasan

Disiarkan pada 07 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


SARIKEI: Seramai 51 pemilik tanah telah menerima cek pampasan berjumlah RM644,995.60 daripada Kerajaan Sarawak sebagai sebahagian daripada proses pengambilan balik tanah bagi pelaksanaan Projek Jalan SK Muara Payang di Kampung Bugis/Bukit Huang/Skim Muara Payang, Sarikei.

Projek jalan sepanjang tujuh kilometer (KM) tersebut melibatkan 91 bidang tanah berkeluasan 32.7199 hektar/80.85 ekar merupakan salah satu projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) akan dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak bernilai RM45 juta.

Majlis penyampaian cek tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sarawak (IAC) Bahagian Sarikei pada Isnin.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Len menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak komited untuk terus mengutamakan pembangunan luar bandar seperti menyediakan kemudahan infrastruktur dan utiliti bagi memastikan kesejahteraan masyarakat luar bandar dengan serta meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk khususnya.

"Pembangunan infrastruktur asas seperti akses jalan raya, elektrik dan air yang penting untuk menghubungkan kawasan luar bandar ke pusat ekonomi perlu dilakukan secara berterusan dan berfasa.

"Kita mahu memastikan penduduk luar bandar juga dapat menikmati hasil pembangunan seiring kemajuan rakyat yang tinggal di bandar.

“Untuk membangunkan kesemua infrastruktur berkenaan, Kerajaan memerlukan tanah dalam melaksanakan pembangunan, oleh yang demikian pengambilan tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.

"Oleh kerana itulah, kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ianya melibatkan tanah berhakmilik ataupun tertakluk tuntutan tanah NCR untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna.”

Katanya, kesinambungan dari pelaksanaan projek ini, satu projek laluan feri bernilai RM24 juta akan turut dilaksanakan bagi melengkapkan akses perhubungan ke Bandar Sarikei melalui Tanah Putih menuju ke Jalan Pasi tanpa menggunakan perhubungan sungai lagi.

"Kawasan ini unik di mana ketiga-tiga masyarakat Melayu (Bugis) ,Iban dan Cina bermastautin di kawasan ini dan hanya dapat diakses melalui Sungai Batang Rajang.

"Projek ini di bawah RADDA, kalau ianya dilaksanakan nanti merupakan projek yang pertama dilaksanakan.

"Kita akan menyediakan feri rem yang akan menelan belanja RM24 juta yang bakal dihubungkan kepada kawasan Tanah Putih. Dari situlah menuju ke jalan baru Jalan Pasi/Tanjung Manis/Sarikei.”

Ujar Datuk Len lagi, kawasan Parit Bugis dan Bukit Huang pada asalnya merupakan kawasan pengeluar hasil Pertanian seperti nanas, kopi, kelapa dan sayur-sayuran di Bahagian Sarikei.

Berikutan tiada kemudahan yang teratur, maka kawasan pertanian ini dimasuki air masin menyebabkan banyak kawasan yang tidak lagi sesuai untuk pengeluaran hasil tani tersebut.

Maka, apabila projek jalan ini siap ianya bukan sahaja memberi kemudahan jalan perhubungan malah mampu menyekat kemasukan air masin sekaligus membolehkan semula dibangunkan untuk pertanian komersial, katanya.

Menurut beliau, Jabatan Pertanian juga telah mengenalpasti kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan Taman Pertanian atau Agro Park.

Hadir sama pada majlis ialah Pengusaha Tanah dan Survey Bahagian Sarikei Sr Awan Amal, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat serta penerima cek. - EDISI UKAS