Kawasan Murum Berpotensi Jayakan Projek Empangan Melata

Disiarkan pada 10 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Kawasan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum mempunyai potensi besar dalam menjayakan usaha Kerajaan Sarawak untuk membina empangan melata atau ‘cascading dam’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, kawasan beliau bersedia untuk menyahut seruan kerajaan dalam usaha membangunkan empangan melata memandangkan sungai-sungai di kawasan berkenaan sesuai dan menepati kriteria yang diperlukan.

“Saya menyambut baik dan amat tertarik dengan sumber kuasa melata ini kerana kawasan Murum mempunyai potensi besar kerana terdapat beberapa sungai yang cukup deras dan mungkin sesuai untuk pembinaan empangan melata ini,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Jumaat.

Antara sungai yang dicadangkan beliau adalah Sungai Danum, Sungai Mali, Sungai Seping, Sungai Baluipe, Sungai Murum dan Sungai Linau yang mana sungai-sungai ini terletak berdekatan dengan grid hidro Murum dan Bakun.

Bagi menjayakan perkara ini, Kennedy memberitahu pihaknya akan mengadakan satu perbincangan bersama komuniti di kawasan terbabit untuk mendapatkan persetujuan mereka sebelum mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Sarawak.

“Saya yakin, bahawa Kerajaan Sarawak mempunyai model pelaksanaan terbaik yang mengambil kira kepentingan semua pihak atau ‘win-win situation’ agar rakyat tempatan turut terlibat dan mendapat manfaat sepenuhnya daripada projek ini,” ulas beliau lagi. -EDISI UKAS