SPAOH: Budaya kunjung mengunjung semasa perayaan yang menjadi ‘trademark’ masyarakat majmuk di Sarawak harus dikekalkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak dapat membangun seperti yang dilihat hari ini hasil kesatuan utuh masyarakat dari semua kaum dan agama di negeri ini.
Tegasnya, dalam mendepani masa depan yag lebih mencabar, usaha perlu diteruskan dalam memperkukuhkan ikatan dalam kalangan masyarakat.
“Dengan ikatan, dengan kesatuan, dengan kekuatan tersebut, kita semua berharap, Sarawak akan dapat membangun seperti digariskan oleh YAB Premier Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030) menjadi wilayah maju menjelang tahun 2030.”
Beliau berkata demikian semasa mengadakan Kunjungan Hari Raya Aidilfitri di Kampung-Kampung Melayu di Spaoh pada Sabtu.
Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Mantan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roseline Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh, ketua-ketua jabatan serta ketua-ketua masyarakat setempat.
Sebanyak tujuh buah rumah Kampung Melayu di sekitar Spaoh terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum dan pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) dikunjungi Datuk Amar Douglas serta delegasi beliau. - EDISI UKAS