Mangsa Kampung Tengah Kalok, Pusa Terima Bantuan

Disiarkan pada 06 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


PUSA: Musibah menimpa mangsa kebakaran di Kampung Tengah Kalok, Pusa pada Sabtu lepas mendapat perhatian Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli yang tampil menghulurkan bantuan.

Pada Ahad, beliau meluangkan masa mengunjungi keluarga Japar Buang untuk menyerahkan sumbangan berjumlah RM3000.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban semasa menyambut Syawal ini.

Selain itu, Mohamad Shafizan berharap agar keluarga mangsa bersabar di atas ujian daripada Allah SWT dan berterima kasih kepada agensi yang telah menghantar bantuan untuk meringankan beban mereka.

Dalam lawatan tersebut, Wanita PBB juga turun menyumbang bantuan berbentuk makanan dan pakaian kepada keluarga tersebut.

Pihak JKKK Kampung Dato Godam diketuai Ketua Kampung, Zaidi Jiee turut menyumbang RM500 dan JKKK Kampung Hulu Pusa diketuai Ketua Kampung Brahim Bakar juga turut menyumbang RM500.

Kejadian berlaku pagi semalam memusnahkan sebuah rumah namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Terdahulu, Mohamad Shafizan meneruskan kelaziman semasa Syawal dengan menziarahi sanak saudara di Kampung Pusa.

Katanya, amalan kunjung-mengunjung adalah platform untuk menyatukan sanak saudara, berkumpul bersama keluarga di kampung khususnya di Kampung Pusa.

Selain itu, Aidilfitri katanya juga boleh mengeratkan hubungan silaturahim serta bermaafan tanpa memikirkan perbezaan politik, kedudukan dan pangkat.

Justeru, beliau menyeru masyarakat untuk mengekalkan perpaduan agar Sarawak terus aman, makmur dan mencapai lebih banyak kemajuan. - EDISI UKAS