KUCHING: Sarawak menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah acara tinju pada Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 selain merancang pembinaan velodrom pertama di Borneo sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab sukan serantau.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak kini muncul sebagai kuasa besar dalam sukan tinju menerusi pencapaian cemerlang di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Kalau boleh, kita mahu tinju diadakan di Sarawak kerana minat rakyat serta prestasi atlet kita sangat memberangsangkan.
“Sokongan penyokong juga memberi kelebihan psikologi kepada atlet tempatan,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri 2025 anjuran bersama Kementerian
Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan Kementerian Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Menurut beliau lagi, antara lokasi yang berpotensi menjadi venue sukan tinju nanti termasuk Stadium Perpaduan, Petra Jaya dan Stadium Tertutup di Sri Aman, bergantung kepada keputusan badan induk tinju kebangsaan.
Mengenai pembinaan velodorm, Dato Sri Abdul Karim mendedahkan perancangan awal pihaknya untuk membina fasiliti tersebut yang berkapasiti 3,000 sehingga 4,000 penonton di Kuching, sekali gus bakal menjadi velodrom pertama di Kepulauan Borneo.
“Kita mahu fasiliti ini bukan sahaja untuk perlumbaan berbasikal, tetapi juga mesyuarat, acara komuniti dan sukan lain. Ia akan jadi pusat pelbagai guna,” ujarnya.
Untuk rekod, Sarawak akan menjadi tuan rumah 18 daripada 36 acara yang dipertandingkan pada Sukan SEA 2027 selepas perbincangan diadakan sebelum ini.
Antara sukan yang hampir pasti berlangsung di Sarawak adalah renang, terjun, tenpin boling, memanah dan menembak.-EDISI UKAS