Persiapan Perarakan Gawai Dayak di Kampung Bunuk 2 Dibincang Dalam Kunjungan Hormat PSBP

Disiarkan pada 06 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Persiapan rapi bagi menjayakan Perarakan Gawai Dayak 2025 di Kampung Bunuk 2 menjadi fokus utama dalam kunjungan hormat Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) ke atas Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, baru-baru ini.

Kunjungan yang diketuai oleh Ahli Parlimen Puncak Borneo merangkap penaung PSBP, Datuk Willie Mongin, bertujuan membincangkan pelbagai aspek teknikal dan logistik berkaitan perarakan yang dijadual berlangsung pada 2 Jun ini.

Menurut perbincangan, penekanan diberikan kepada kelancaran penganjuran, penyelarasan penyertaan komuniti serta elemen kebudayaan yang bakal diketengahkan, selaras dengan matlamat memperkukuh perpaduan dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Dayak di kawasan Penrissen.

Datuk Dr Jerip menyambut baik usaha dan inisiatif PSBP dalam memastikan sambutan Gawai Dayak tahun ini berlangsung dalam suasana penuh meriah dan bermakna, serta mampu menjadi platform menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.

Perarakan Gawai Dayak di Kampung Bunuk 2 dijangka menjadi antara acara kemuncak perayaan di kawasan tersebut, melibatkan penyertaan aktif komuniti setempat dan pertubuhan-pertubuhan tempatan.

Sebelum itu, Datuk Dr Jerip turut menerima kunjungan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Mambong dan Kampung Sikog bagi membincangkan hal ehwal pembangunan dan kebajikan penduduk kampung. - EDISI UKAS