MIRI: Perumahan seumpama Darul Hana di Kuching akan dibangunkan di kawasan Padang Kerbau di sini sebagai usaha memberikan kawasan penempatan yang selamat kepada penduduk yang masih tinggal di tebingan sungai.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek perumahan ini akan dibina di atas tanah berkeluasan 200 ekar dengan fasa pertamanya akan membangunkan 200 unit rumah terlebih dahulu.
“Kita akan bangunkan 200 ekar di Padang Kerbau yang mana fasa pertama ini, kita akan membangunkan 50 ekar terlebih dahulu di mana ianya akan merangkumi sebanyak 200 lot rumah.
“Saya telah meluluskan RM200 juta untuk kawasan tersebut dibangunkan bagi fasa pertama dan kita akan membangunkan sepenuhnya 200 ekar perumahan ini di tengah-tengah Bandar Miri,” ujar beliau semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran gabungan lima cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miri, yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, Kerajaan Sarawak akan menampung sepenuhnya kos menembok tanah, pemasangan infrastruktur elektrik dan air, jalan raya serta parit konkrit bagi projek berkenaan.
Lebih manis lagi, Kerajaan Sarawak turut menampung wang pendahuluan berjumlah RM10,000 bagi memudahkan rakyat memiliki rumah kediaman mereka. -EDISI UKAS