Ahli Parlimen Batang Lupar Bantu Ringankan Beban Rakyat Di Kawasannya

Disiarkan pada 05 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


BELADIN: Keprihatinan terhadap nasib rakyat terus menjadi keutamaan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli apabila beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada keluarga Hanafiee Abu Bakar bagi meringankan beban kos perubatan anak beliau yang sedang sakit.

Sumbangan tersebut disampaikan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 yang diadakan di kediaman beliau di Kampung Darat, Beladin, Pusa pada Sabtu.

Menurut Mohamad Shafizan, sambutan Aidilfitri bukan sekadar meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, tetapi juga ruang untuk menyemai nilai keprihatinan, kasih sayang dan kebersamaan dalam masyarakat.

“Syawal adalah bulan untuk kita saling bermaafan, menziarahi antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama, serta menyantuni mereka yang memerlukan. Sumbangan ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga Encik Hanafiee,” katanya.

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sebagai tanda kegembiraan dan berkongsi rezeki sempena lebaran.

Mohamad Shafizan turut menekankan kepentingan mengekalkan budaya ziarah-menziarahi dan adat tempatan seperti majlis “Ringgo” yang menjadi simbol penyatuan dan perpaduan masyarakat di Sarawak.

“Marilah kita terus jaga hubungan kekeluargaan dan perpaduan di kawasan ini agar kita tidak mudah berpecah belah. Aidilfitri sewajarnya menyatukan kita,” ujarnya.

Majlis rumah terbuka itu turut dihadiri penduduk setempat dari pelbagai latar belakang, sekali gus menggambarkan keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat di kawasan Parlimen Batang Lupar.-EDISI UKAS