BELAWAI: Golongan belia di Belawai diseru untuk bersiap sedia merebut peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan melalui beberapa projek pembangunan baharu yang dirancang di kawasan itu.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata pelaksanaan projek seperti Belawai Waterfront, pembinaan hotel serta pelbagai lagi inisiatif pembangunan akan membuka ruang penyertaan lebih besar kepada penduduk tempatan dalam menjayakan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Selama ini ekonomi di Belawai hanya tertumpu kepada hasil laut dan pertanian.
“Namun dengan adanya pembangunan berstruktur ini, kita mahu masyarakat terlibat secara langsung, bukan sekadar menjadi pemerhati,” katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, pada Sabtu.
Tambah beliau, projek-projek yang dirancang memerlukan perancangan teliti serta tempoh masa tertentu sebelum dapat direalisasikan, namun hasilnya dijangka membawa perubahan ketara kepada landskap sosioekonomi Belawai.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan pentingnya sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Sarawak bagi memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
“Sekarang kita dapat lihat sendiri hasil perjuangan pemimpin Sarawak. Rangkaian perhubungan darat sudah jauh lebih baik dan selesa, dan ini menjadi pemangkin utama kepada pembangunan kawasan luar bandar seperti Belawai,” ujarnya.
Beliau turut yakin bahawa lebih banyak pembangunan akan dapat dilaksanakan sebaik sahaja sistem perhubungan darat siap sepenuhnya kelak.-EDISI UKAS