SONG: Kerja-kerja membaik pulih kawasan cerun berbahaya dan kawasan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat di sini perlu segera dilaksanakan.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, walaupun jalan tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun amat penting untuk beliau membantu dalam mendapatkan peruntukan kewangan bagi kerja-kerja baik pulih.
"Saya tahu masa sudah suntuk (untuk siapkan kerja baik pulih jalan) kerana Gawai tidak lama lagi.
"Namun saya mahu kerja-kerja baik pulih segera dilaksanakan, sekurang-kurangnya keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan itu lebih terjamin menjelang sambutan Gawai kelak," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat Laporan Monsun Timur Laut di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Song di sini pada Sabtu.
Sebelum itu, Pegawai Daerah Song, Harry Bruce Edwin telah membentangkan laporan pasca banjir dan memberitahu anggaran peruntukan kerja-kerja baik pulih cerun berbahaya dan tanah runtuh di Jalan Sipan/Temalat masing-masing melibatkan kos sebanyak RM2 juta dan RM5 juta.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapit tersebut turut mengingatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) agar memasang papan tanda di kawasan tanah runtuh Jalan Sipan/Temalat bagi memastikan keselamatan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut.
Ketika banjir besar melanda Song dan Bahagian Kapit pada 21 hingga 23 Mac lalu, seramai 104 mangsa banjir dari 14 kawasan di Song terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir (PPS).
Dianggarkan lebih 1,500 mangsa yang terjejas namun enggan dipindahkan kerana tidak mahu meninggalkan harta benda mereka,
Selain itu, sebanyak enam sekolah terkesan akibat banjir termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Beguang, SK Nanga Temalat, SK Lubok Bedil, SK Nanga Janan, SK Nanga Nansang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katibas.-EDISI UKAS