MIRI: Sarawak terus menjadi contoh terbaik bagi negeri berbilang kaum yang mengutamakan nilai toleransi dan perpaduan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, menegaskan bahawa kepelbagaian etnik dan budaya di Sarawak adalah satu keunikan yang harus dibanggakan dan dipertahankan.
Menurut beliau, keharmonian yang terjalin antara masyarakat pelbagai kaum menjadikan Sarawak sebuah negeri yang unik dan berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia.
“Sarawak kaya dengan kepelbagaian etnik dan budaya, yang membentuk masyarakat pluralis dengan nilai toleransi yang tinggi. Ini adalah aset penting yang perlu kita pelihara untuk generasi akan datang,” katanya semasa lawatan Hari Raya ke rumah pemimpin masyarakat di sekitar Miri, pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau itu turut berharap agar keunikan perpaduan di Sarawak dapat diketengahkan kepada pelancong luar, terutamanya dari China, yang sebelum ini banyak mengunjungi Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah.
“Kami mahu pelancong asing datang ke Sarawak dan melihat sendiri bagaimana masyarakat di sini hidup dalam harmoni, terutama ketika musim perayaan seperti Hari Raya.
Mereka juga boleh merasai pengalaman rumah terbuka dan menikmati juadah tradisional seperti rendang dan lemang,” tambahnya.
Dalam lawatan sempena Hari Raya ini, Datuk Sebastian Ting bersama rombongannya mengunjungi 12 rumah pemimpin masyarakat, termasuk Ketua Kampung Pulau Melayu, KK Darahman Sahat, Ketua Wanita PBB Ranting Kampung Pulau Melayu, Robiah Mohd Hamdan, serta beberapa veteran dan tokoh masyarakat lain.
Beliau turut menyeru rakyat Sarawak agar terus memelihara semangat perpaduan yang telah lama menjadi kekuatan negeri itu.
“Kita perlu menghargai dan mempertahankan keharmonian ini kerana ia adalah identiti Sarawak yang menjadikan kita istimewa di mata dunia,” katanya.-EDISI UKAS