KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dalam memastikan keselamatan rakyat dengan memperkenalkan 'Dedicated Corridor' atau koridor khas sebagai langkah kawalan risiko terhadap kemungkinan insiden gas meletus.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap, yang menekankan keperluan untuk mewujudkan kawasan penampan atau buffer zone bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr). Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjelaskan bahawa pelaksanaan 'Dedicated Corridor' ini melibatkan proses penggazetan kawasan tertentu sebagai zon keselamatan.
Melalui inisiatif ini, katanya data berkaitan penyimpanan gas akan diselia dengan lebih ketat, sementara kawasan industri seperti Samalaju akan dikelaskan sebagai kawasan keselamatan di mana pembinaan perumahan dan kemudahan awam tidak akan dibenarkan.
“Kita mempunyai perancangan di bawah Sarawak Gas Roadmap. Kita ada koridor khas yang perlu digazetkan bagi memastikan keselamatan.
“Ini termasuk kawasan seperti Samalaju, yang akan dijadikan kawasan keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko gas meletus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, di Dewan Hikmah, Petra Jaya, Kuching pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa 'Dedicated Corridor' ini penting bagi mengesan dan mengawal jenis gas yang berpotensi membahayakan, terutamanya gas bertekanan tinggi.
“Kita ada dua jenis gas. Satu adalah gas bertekanan rendah, yang digunakan dalam saluran paip ke rumah dan tidak berbahaya.
“Tetapi yang gas bertekanan tinggi inilah yang berbahaya kerana tekanannya kuat dan boleh menyebabkan insiden tidak diingini,” tambahnya.
Langkah ini dijangka akan memperkukuh lagi sistem pemantauan dan kawalan risiko di kawasan industri strategik, sekaligus memastikan keselamatan awam terjamin dalam jangka panjang.
Hadir sama dalam majlis Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta tetamu lain.-EDISI UKAS