KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri terus menjadi simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak dengan kehadiran pemimpin negeri ke pelbagai kediaman bagi meraikan kemeriahan Syawal bersama.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, turut meluangkan masa menghadiri rumah terbuka Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Muhammad Abdullah Zaidel pada Khamis.
Dalam suasana penuh kemesraan, Premier Sarawak bersama pemimpin kerajaan dan masyarakat setempat menikmati pelbagai juadah tradisional yang mencerminkan kepelbagaian budaya Sarawak.
Majlis ini turut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri; serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee.
Selain itu, Premier Sarawak turut menghadiri beberapa rumah terbuka pemimpin negeri yang lain dalam usaha memperkukuh silaturahim dan menzahirkan semangat inklusiviti yang menjadi asas keharmonian di Sarawak.
Dengan sambutan Aidilfitri yang penuh muhibah ini, Sarawak terus membuktikan bahawa semangat perpaduan dan toleransi menjadi teras utama dalam membina negeri yang harmoni dan progresif.-EDISI UKAS
Kredit Gambar : Jabatan Premier Sarawak