Gabriel Gumis Humen Dilantik Sebagai Presiden Mahkamah Bumiputera Rayuan

Disiarkan pada 02 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Gabriel Gumis Humen telah dilantik sebagai Presiden Mahkamah Bumiputera Rayuan yang baharu, berkuat kuasa mulai 1 April 2025.

Pelantikan ini diumumkan oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Datu Johnathan Lugoh, dalam satu perjumpaan di Bilik Mesyuarat Utama, bangunan Mahkamah Bumiputera Sarawak, pada Rabu.

Menurut satu kenyataan media, Gabriel Gumis akan menggantikan mendiang Datu Thomas Akin Jelimin yang telah meninggal dunia pada Mac tahun lalu.

Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Majistret Mahkamah Bumiputera Residen dan memiliki latar belakang yang kukuh dalam bidang undang-undang.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perundangan (LL. B ) dari Universiti Malaya dan memiliki pengalaman luas dalam mengendalikan kes-kes rayuan kes sivil serta kes-kes permohonan komuniti Bumiputera Sarawak.

Sebelum menyertai Mahkamah Bumiputera Sarawak, Gabriel berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak serta memegang jawatan Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia Cawangan Sarawak dan Pengerusi Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial. -EDISI UKAS