JUMAAT, 10 MEI 2024
KUCHING: Kerajaan Azerbaijan berminat untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan pemain industri perniagaan dan universiti di Sarawak.
Duta Besar Azerbaijan ke Malaysia, Irfan Davudov berkata, Sarawak merupakan antara negeri terpenting dari sudut pembangunan ekonomi.
“Sarawak merupakan antara negeri terpenting dari sudut pembangunan ekonomi dan kunjungan saya ke sini adalah untuk menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan kalangan pemain industri perniagaan Sarawak, dengan universiti-universiti di Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Jumaat.
Dalam pertemuan itu katanya, beliau telah berbincang dengan Premier Sarawak tentang Persidangan Perubahan Iklim PBB 2024 (UNFCCC COP 29) yang akan bersidang pada November 2024 di Baku, Azerbaijan.
“Kami mengharapkan delegasi besar dari Malaysia untuk mengambil bahagian dalam acara yang sangat penting ini, begitu juga delegasi dari Sarawak untuk turut serta,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya mempunyai potensi yang sangat baik dari sudut pembangunan hubungan ekonomi antara Sarawak dan Azerbaijan dalam bidang pendidikan, hubungan kewangan, bidang kebudayaan dan sebagainya.
“Sebagai duta, adalah menjadi tugas dan sukacita saya untuk menyumbang sebahagian kepada pembangunan daripada hubungan ini,”ujarnya. - EDISI UKAS