RM450 Juta Diperuntuk Bina Pencawang Baharu & Sistem Kabel Bawah Tanah

Disiarkan pada 01 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Bekalan elektrik di Sarawak terus diperkukuh menerusi peruntukan sebanyak RM450 juta bagi pembangunan beberapa projek naik taraf termasuk pembinaan pencawang baharu dan penggunaan sistem kabel bawah tanah.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, antara kawasan yang akan menerima manfaat daripada projek itu ialah Lawas, Lubok Antu, Sungai Asap, Asajaya dan Simunjan.

Menurutnya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM450 juta yang telah diluluskan bagi meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di negeri ini.

“Kita telah menyiapkan pencawang baharu di Asajaya dan menghubungkannya dengan pencawang di MID Industrial Estate menggunakan 'Horizontal Directional Drilling' (HDD) (kaedah pemasangan kabel bawah tanah).

"Ini telah membantu meningkatkan kualiti bekalan elektrik di Bahagian Samarahan, khususnya di Daerah Asajaya,” katanya semasa ditemui media semasa Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Beliau turut menjelaskan bahawa gangguan bekalan elektrik yang tidak berjadual boleh berlaku atas pelbagai faktor, termasuk kerosakan akibat aktiviti pihak ketiga dan fenomena semula jadi seperti panahan petir.

“Kadang-kadang, kabel rosak akibat kerja-kerja yang dilakukan pihak ketiga, bukan oleh SESCO sendiri.

"Selain itu, kejadian vandalisme juga boleh menyebabkan gangguan bekalan,” katanya.

Beliau juga berharap dengan pelaksanaan projek-projek ini, gangguan bekalan elektrik dapat dikurangkan dan rakyat Sarawak dapat menikmati bekalan yang lebih stabil dan berterusan.-EDISI UKAS