Kunjungan Rumah Terbuka Premier Sarawak Meriah, Lebih 10,000 Pengunjung Hadir

Disiarkan pada 01 Apr 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, terus meriah pada hari kedua dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.

Seawal jam 8:30 pagi, orang ramai sudah mula membanjiri ruang legar BCCK, meskipun majlis hanya bermula pada jam 10 pagi.

Kemeriahan semakin dirasai apabila tetamu pelbagai kaum dan agama hadir, sebahagiannya mengenakan pakaian tradisional etnik masing-masing, mencerminkan keunikan serta keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin negeri yang meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat dalam suasana penuh mesra dan inklusif.

Para tetamu bukan sahaja menikmati pelbagai juadah istimewa, malah turut berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan yang menceriakan suasana.

Sementara itu, wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sempat menemubual beberapa pengunjung mengenai pengalaman mereka menghadiri rumah terbuka ini.

Menurut Mohd Amirul, beliau teruja melihat kepelbagaian kaum yang turut meraikan sambutan Aidilfitri di Sarawak.

“Saya terkejut kerana pelbagai bangsa yang ada, bukan sahaja Melayu yang sambut Hari Raya. Bangsa lain juga di Sarawak ini dapat melihat keunikan Hari Raya di sini.

“Harapan saya adalah agar majlis seperti ini diteruskan pada masa akan datang kerana inilah keunikan kita di Sarawak. Semua datang tidak kira bangsa ataupun agama,” katanya.

Bagi David, ini bukan kali pertama beliau mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak.

“Saya menyifatkan sambutan Hari Raya di Sarawak sangat menarik dan meriah kerana dihadiri oleh pelbagai kaum dan bangsa,” katanya.

Leoni turut sependapat dengan David dan menyatakan keterujaannya menghadiri majlis ini.

“Sambutan tahun ini sangat meriah dan ini bukan pertama kali saya berkunjung ke Rumah Terbuka Aidilfitri Premier Sarawak,” katanya.-EDISI UKAS