SONG: Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Song sekali lagi terserlah dalam program Jom Berambeh Syawal Pertama yang diadakan di perkarangan Masjid Nurul Islam Kampung.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan Masjid (JKP) serta Lajnah Kebajikan dan Sosial (LAKIS) itu menjadi wadah penyatuan penduduk setempat, membuktikan bahawa semangat muhibah terus subur dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada penganjur atas usaha murni mengadakan program yang dapat mengeratkan hubungan masyarakat.
“Masyarakat di Song sangat unik kerana kita dapat bersama-sama meraikan setiap perayaan tanpa mengira kaum dan agama. Ini membuktikan perpaduan yang kukuh di sini, dan saya berharap amalan ini dapat dikekalkan demi kesejahteraan bersama,” katanya berucap dalam program tersebut pada Isnin.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan yang terjalin sejak sekian lama ini berpunca daripada sikap hormat-menghormati adat resam serta pantang larang setiap kaum, selain amalan bertolak ansur yang menjadi tunjang keharmonian.
“Perpaduan ini bukan sahaja penting untuk komuniti kita di Song, malah ia turut menjadi asas kepada kemajuan negeri kita. Dengan semangat saling menghormati, kita dapat membina negeri yang lebih maju dan makmur,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti serta jamuan Aidilfitri yang menggalakkan interaksi antara penduduk setempat.
Lidam turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya, sambil menyeru agar nilai perpaduan yang telah lama wujud ini terus diperkukuh demi generasi akan datang.-EDISI UKAS