Pengunjung Teruja Hadiri Rumah Terbuka Hari Raya Premier Sarawak 2025

Disiarkan pada 31 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Isnin disambut dengan penuh meriah, menarik kehadiran pengunjung pelbagai kaum dan agama yang teruja berpeluang meraikan perayaan ini bersama pemimpin negeri.

Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mendapati masyarakat yang hadir menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, atas penganjuran majlis yang mengeratkan perpaduan rakyat.

Seorang pengunjung, Aizul Amri dari Kedah, menyifatkan suasana sambutan Aidilfitri di Sarawak berbeza daripada pengalamannya di Semenanjung, kerana diraikan bersama masyarakat berbilang kaum.

“Di Sarawak, nilai toleransi sangat jelas apabila perayaan seperti Hari Raya turut disambut bersama kaum lain seperti Iban, Bidayuh dan lain-lain.

“Bukan hanya Aidilfitri, malah perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Krismas juga diraikan bersama, mencerminkan keharmonian rakyat,” katanya.

Bagi Lau Fuk Ming, yang pernah menghadiri rumah terbuka ini pada tahun-tahun sebelumnya, beliau berharap tradisi ini akan diteruskan kerana memberi peluang kepada rakyat untuk meraikan Aidilfitri bersama pemimpin nombor satu negeri.

Sementara itu, Sharkawi Ahad dan Izzamira Jefri turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas peluang menghadiri majlis tersebut.

“Ini kali pertama saya hadir dan saya sangat bersyukur kerana dapat mengucapkan terima kasih kepada Premier secara langsung,” ujar Sharkawi.

Izzamira pula berharap penganjuran majlis ini akan menjadi lebih meriah pada masa akan datang dengan kehadiran lebih ramai masyarakat.

Pada hari pertama penganjurannya, lebih 5,000 pengunjung membanjiri BCCK, dengan ada yang beratur seawal jam 8 pagi, meskipun majlis bermula pada jam 10.30 pagi.

Pengunjung turut tidak melepaskan peluang bergambar dan berswafoto bersama barisan pemimpin yang hadir, menyerlahkan semangat perpaduan antara rakyat dan kepimpinan negeri pada bulan Syawal ini.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan, Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, wakil-wakil rakyat serta tetamu kenamaan lain.– EDISI UKAS