LONG BEMANG: Bengkel anyaman pelbagai jenis, termasuk tikar dan bakul, yang berlangsung di Kampung Long Bemang sejak Jumaat lalu mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat, khususnya golongan wanita.
Program anjuran Orang Ulu Chamber of Commerce (OUCCI) dengan kerjasama Federation of Orang Ulu Association (FORUM) itu berakhir pada Sabtu dan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau.
Menurut beliau, program seperti ini amat signifikan dalam membantu kaum ibu di rumah panjang mengembangkan kemahiran kraftangan mereka.
Beliau menegaskan bahawa produk kraf yang kreatif dan unik mempunyai nilai pasaran yang tinggi serta boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan bagi penduduk setempat.
“Menghasilkan kraftangan bukan sekadar hobi, tetapi boleh dijadikan satu kerjaya yang menguntungkan.
Malah, ada di kalangan pengusaha kraf yang sudah berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya dalam ucapannya.
Beliau juga menekankan bahawa kerajaan terus menyokong industri kraftangan di Sarawak, yang merupakan salah satu aset utama dalam sektor pelancongan negeri ini.
“Saya berharap agar lebih ramai golongan muda berani menceburi bidang ini di masa hadapan,” tambahnya.
Bengkel ini katanya bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran mereka tetapi juga membuka ruang kepada mereka untuk menjana pendapatan melalui hasil kraftangan yang berkualiti tinggi.
Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Penghulu Jok Ngau dan Ketua Kampung Rabiam.-EDISI UKAS