Program Bedara Ngepun Nyerungkai Jerita Balang Balai Nyabong Dilancarkan

Disiarkan pada 29 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


SONG: Program Bedara Ngepun Nyerungkai Jerita Balang Balai Nyabong telah dilancarkan dengan matlamat untuk mengkaji serta menulis semula sejarah pahlawan Iban yang terkenal, Balang Balai Nyabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas Lidam Assan berkata, program ini merupakan inisiatif yang dijayakan oleh Song Graduate Club dengan pembentukan pasukan Taskforce khusus untuk menjalankan penyelidikan mendalam.

Ujarnya, penghargaan dan tahniah diberikan kepada Song Graduate Club atas usaha mereka dalam mewujudkan pasukan Taskforce bagi memastikan sejarah Pahlawan Balang dapat didokumentasikan dengan lebih tepat dan sahih.

“Program ini bertujuan merungkai kisah keberanian dan kepimpinan Balang Balai Nyabong yang telah memberikan sumbangan besar kepada masyarakat Iban di Sungai Katibas, Song.

Salah satu fokus utama adalah untuk menulis semula manuskrip pahlawan ini, yang signifikan dengan sejarah serta warisan Iban di kawasan tersebut,” katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Bedara Ngepun Nyerungkai Jerita Balang Balai Nyabong di Rumah Jarop Nanga Sepadi, Katibas pada Jumaat.

Tambahnya, pembinaan tugu khas untuk memperingati Balang Balai Nyabong turut dirancang yang bukan sekadar menjadi simbol penghormatan tetapi juga sebagai tanda ingatan kepada generasi akan datang mengenai kepahlawanan tokoh ini.

Selain itu, Lidam Assan berkata, program ini juga bertujuan untuk menjejaki peninggalan Pahlawan Balang seperti tapak rumah lama, senjata tradisional Nyabor Balang, Pinggai Balang, serta pengaruh beliau dalam masyarakat setempat.

“Kajian ini akan melibatkan penyelidikan mendalam, temubual, serta dokumentasi bagi memastikan fakta sejarah yang tepat dapat dikumpulkan dan dipersembahkan kepada masyarakat,” katanya.

Lebih daripada itu jelasnya, program ini juga akan membawa naratif baharu bagi membetulkan pandangan sejarah yang sebelum ini banyak ditulis oleh penulis dan pengkaji luar.

Dengan adanya penyelidikan dan dokumentasi oleh anak tempatan sendiri, sejarah Pahlawan Balang dapat disusun dengan lebih sahih dan terperinci, tambah beliau. -EDISI UKAS