KUCHING: Projek Bekalan Elektrik khususnya di kawasan Ulu Poi dan Ulu Machan, Kanowit sedang dilaksanakan di bawah Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles Fasa 2 dan Fasa 3 yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Menurut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi
Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, sebanyak 7 projek telah siap sepenuhnya di kawasan Ulu Poi manakala 5 projek lagi masih dalam peringkat pelaksanaan.
Katanya, projek ini akan memberi manfaat kepada 234 isi rumah apabila siap sepenuhnya nanti.
“Bagi kawasan UIu Machan pula, 11 projek RES Last Miles telah dilaksanakan.
“Daripada jumlah ini, lapan projek telah siap sepenuhnya manakala tiga projek lagi masih dalam pelaksanaan.
“Projek ini akan memberi manfaat kepada 189 isi rumah apabila siap nanti,” katanya semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Jumaat.
Tambahnya, untuk Projek SARES atau Skim Alternatif Elektrik Luar Bandar Sarawak hanya satu projek tersebut telah siap dilaksanakan di kawasan Machan iaitu di Rumah Langit Angol. Ng Bilat, Sg Poi, Kanowit.
Manakala bagi Projek ALAF atau Skim Dana Pemohon Tambahan atau Lewat (Additional & Late Applicants Fund), setakat ini sebanyak 51 buah rumah panjang dan premis telah dikenalpasti untuk pelaksanaan.
Daripada jumlah ini katanya, sebanyak 14 projek ALAF telah siap sepenuhnya dan 37 projek lagi masih dalam peringkat survei dan menyiapkan rekabentuk.
Tambahnya lagi, bagi mempercepatkan proses permohonan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar ini, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) telah menambahbaik proses sedia ada di mana pengesahan dan kesesuaian rumah dapat dikenalpasti di peringkat awal bagi memendekkan masa untuk kerja-kerja survei di tapak. - EDISI UKAS