ADUN Jepak Cadang Wujudkan Zon Bebas Cukai Di Bintulu

Disiarkan pada 10 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Cadangan untuk mewujudkan Zon Bebas Cukai di Bintulu seperti Johor Premium Outlet, Mitsui Outlet dan lain-lain mampu menjana ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, usaha ini selari dengan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu yang mampu menjadi hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik.

“Sarawak juga perlu mengambil inisiatif yang sama untuk mewujudkan Zon Bebas Cukai yang pertama di Borneo dan boleh kita namakan Jepak Premier Outlet.

“Kita yakin ianya mampu menjanakan ekonomi dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan industri pelancongan, contohnya dari Brunei dan Kalimantan Indonesia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Khamis.

Tambah Iskandar, dengan mewujudkan Jepak Premium Outlet itu juga dapat memberi peluang kepada pembeli tempatan membeli belah di zon bebas cukai.

“Ramai yang mencari lokasi membeli belah bebas cukai kerana tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan barangan berkualiti dan berjenama yang didamkan dengan harga yang lebih murah berbanding di kedai-kedai biasa,”katanya.-EDISI UKAS