KUCHING: Tatacara cabutan undi bagi projek Program Tranformasi Luar bandar (RTP) dicadangkan untuk perolehan projek sosioekonomi di bawah Jabatan Pertanian Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata, ini bagi memastikan masa yang singkat untuk penghantaran produk dan perkhidmatan kepada penerima projek.
Menurutnya, perolehan masa kini melibatkan proses yang memakan masa terlalu panjang.
“Dalam sesetengah kes, mengambil masa bertahun-tahun untuk dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 pada Khamis.
Dalam perkembangan lain, Lidam turut menyeru kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menggunakan dasar Beli Tempatan Dahulu (Buy Local First) dengan merangsang ekonomi dalam komuniti sekaligus membantu memberi manfaat kepada sekolah dan badan amal tempatan.
Jelasnya, beliau mahu Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk menyokong program ini dengan memastikan katerer makanan sekolah mereka untuk membeli daripada petani tempatan.
“Saya percaya sekolah boleh menyerap sejumlah besar produk tempatan kita. Dengan berbuat demikian, anda menyumbang kepada kesejahteraan petani kita yang mungkin ibu bapa kepada kanak-kanak sekolah,” tambahnya.-EDISI UKAS