BETONG: Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi sekitar kawasan Spak bagi meninjau keadaan infrastruktur yang sering terjejas akibat banjir pada Khamis.
Lawatan tersebut memberi tumpuan kepada jambatan dan kawasan tanah runtuh yang memerlukan perhatian segera.
Lokasi pertama yang dikunjungi ialah jambatan merentasi Sungai Spak di Nanga Mujau, yang sering mengalami kerosakan akibat banjir besar.
Dalam perkembangan terbaru, Dato Dr Richard Rapu mengumumkan bahawa peruntukan untuk membina jambatan baharu telah diluluskan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
Menurut beliau, lawatan ini merupakan susulan daripada pihak JKR Bahagian Betong selaku agensi pelaksana, di mana projek ini kini dalam proses pertapakan sebelum memasuki peringkat rekaan dan dijangka memasuki proses tender pada suku ketiga tahun 2025.
“Jambatan baharu ini akan dibina dengan rekaan yang lebih praktikal, ketinggian lebih sesuai serta ketahanan lebih baik terhadap arus banjir bagi mengelakkan kerosakan berulang,” katanya.
Lokasi kedua lawatan ialah Rumah Panjang Jambai Bunsu di Kerapa, Spak, di mana tinjauan dilakukan terhadap kawasan tanah runtuh di belakang rumah panjang serta jambatan Sungai Nyelutong yang turut terjejas akibat banjir besar.
Dalam sesi perbincangan bersama penduduk dan pihak JKR Bahagian Betong, beberapa cadangan penyelesaian telah dikemukakan dan akan dibawa ke Pejabat Residen Bahagian Betong serta Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Betong untuk tindakan selanjutnya.
Antara yang turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah Penolong Jurutera JKR Bahagian Betong, Steward Ludan, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Betong, Amir Ridzuan Mohammad, Jurutera Awam Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak, Raphael Churchill Raymond, serta Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Betong, Kaunselor Horace Entoi. -EDISI UKAS