RISM Diperlawa Bekerjasama Dengan Kerajaan Sarawak Terokai Kawasan Baharu Luar Pesisir

Disiarkan pada 10 May 2024
Sumber Berita: UKAS



KUCHING: Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) diperlawa untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak untuk meneroka kawasan baharu seperti luar pesisir pantai Sarawak.
 
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ia adalah perkara yang baharu untuk meneliti kandungan hidrokarbon di luar pesisir pantai Sarawak untuk tujuan penyimpanan karbon.
 
“Sekiranya itu berlaku, saya boleh memberitahu maklumat yang ada pada masa ini, Sarawak merupakan yang terawal dalam melaksanakan penyimpanan karbon di wilayah ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gala Ulang Tahun RISM Sarawak Ke-50 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Khamis.
 
Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari mahu para Juruukur mengadaptasi pendigitalan dalam gerak kerja mereka.
 
Langkah ini katanya akan memudahkan kerja-kerja ukur termasuk marin dan hydraulik untuk projek-projek kerajaan negeri yang kian bertambah.
 
Dalam pada majlis sama, Premier Sarawak turut  melancarkan pembangunan monumen 0 KM yang akan dibina di sekitar bandar raya ini!selepas reka bentuk dan lokasi ditentukan bersama pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
 
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pengerusi RISM Sarawak, SR Sharlene Toh Shiow Lin, Presiden RISM, Sr Adzman Shan Mohd Ariffin,Pengerusi Pengelola RISM, Sr Kenneth Wong, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak, Datu Ir Ahmad Denny Ahmad Fauzi, Pengarah Jabatan Kerja Sarawak, Datu Ir Richard Tajan dan Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood.-EDISI UKAS