KOTA SAMARAHAN: Program Jelajah Amal Wanita Parlimen Kota Samarahan Zon Muara Tuang diteruskan ke Kampung Baru dengan membawa misi kemanusiaan dan keprihatinan kepada penduduk setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, dalam program ini berkesempatan melawat Rameno Leman, yang telah lumpuh sejak tahun 2022 akibat kemalangan semasa bekerja.
Keadaan ini telah membataskan pergerakan serta aktiviti hariannya, menyebabkan beliau bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga untuk keperluan harian.
Selain itu, lawatan turut diteruskan ke rumah Nadan Ayub, yang menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian selepas kehilangan sebelah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis yang mana kini beliau dijaga oleh isterinya, yang turut mengalami masalah kesihatan.
"Saya berharap lawatan ini dapat membawa sedikit keceriaan serta sinar kebahagiaan kepada mereka, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Saya turut mendoakan agar mereka diberikan kesabaran, kekuatan, dan kesihatan yang baik," ujarnya.
Hadir sama, Ketua Kaum Kampung Baru Tengah Sourabaya Leman, Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Muara Tuang Rozni Paee serta ahli-ahli Ranting PBB Kampung Baru. -EDISI UKAS