SADONG JAYA: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan untuk menziarahi kampung halaman beliau di sini, yang dahulunya dikenali sebagai Pendam.
Program ziarah beliau dimulakan dengan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di Masjid Darul Iman, di sini yang mana turut disertai oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Mual Suaud dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit.
Solat Jumaat tersebut dipimpin oleh Imam Besar Sarawak Ustaz Dato’ Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Usai solat Jumaat, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi meneruskan ziarah ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Sadong Jaya untuk menziarahi makam ayahanda beliau, Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Sham.
Kehadiran beliau bersama isteri di Tanah Perkuburan Islam itu turut disertai oleh ahli keluarga, pegawai kerajaan, dan masyarakat setempat.
Lawatan ini juga memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bertemu dan beramah mesra dengan beliau, sekaligus mengukuhkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan rakyat.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang. -EDISI UKAS