KOTA SAMARAHAN: Inisiatif bantuan RM1,200 kepada pelajar-pelajar Sarawak yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia akan dilancarkan dalam masa yang terdekat.
Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, bantuan itu akan disalurkan melalui aplikasi e-dompet S Pay Global.
"Jadi saya ingin menyeru kepada pelajar-pelajar untuk mendaftar diri dengan S Pay Global kerana saya yakin sumbangan tersebut disalurkan melalui aplikasi tersebut.
"Jangan menunggu untuk daftar pada hujung-hujung kelak akan 'congested'," katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Sumbangan Food Bank Dan Dapur Hal Ehwal Pelajar (HEP) di Masjid Al-Qurawiyyin, UiTM Cawangan Sarawak pada Jumaat.
Tambahnya, sumbangan untuk pelajar di luar Sarawak turut menggunakan S Pay Global mrmandangkan e-dompet tersebut diguna secara meluas di Malaysia.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut menyeru agar pelajar yang ingin pulang ke kampung untuk melihat kepada inisiatif yang disediakan kerajaan Sarawak.
"Kita sedia maklum, inisiatif kita iaitu Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS) di mana peruntukan tersebut boleh digunakan untuk meringankan beban untuk balik membeli tiket kapal terbang tetapi dengan syarat hanya boleh memohon dua kali setahun," jelasnya.
Tambahnya lagi, permohonan untuk IGPS ini boleh dilakukan menggunakan aplikasi Yayasan Sarawak.
Dalam pada itu, Dato Fazzrudin Abdul Rahman telah menyampaikan sumbangan geran daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebanyak RM20,000 untuk Sumbangan Foodbank dan Dapur HEP.
Sumbangan Foodbank dan Dapur HEP ini telah dilaksanakan oleh UiTM Cawangan Sarawak bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan untuk mengambil makanan keperluan bagi menyara diri.
Turut hadir, Rektor UiTM Cawangan Sarawak Dr Firdaus Abdullah. -EDISI UKAS