BETONG: Suasana kemeriahan Ramadan semakin dirasai di Kampung Debak Laut apabila penduduk setempat berkumpul dalam Program Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Tahlil yang berlangsung penuh harmoni pada Rabu.
Acara ini bukan sekadar satu tradisi tahunan, tetapi turut menjadi platform untuk memperkukuh nilai kebersamaan dalam komuniti, dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam yang meluangkan masa bersama penduduk kampung.
Lebih menarik, sebelum berbuka puasa, beliau turut menyertai Pergerakan Wanita PBB Debak Laut Hulu dalam misi mengagihkan 350 pek Bubur Pedas kepada penduduk setempat.
Langkah ini bukan sahaja mencerminkan semangat berkongsi rezeki, tetapi juga memperkukuh nilai kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat.
“Sempena sambutan Aidilfitri 2025, saya ingin mengajak semua untuk terus mengekalkan amalan ‘Ringgo’, iaitu tradisi kunjung-mengunjung yang sinonim dengan masyarakat Saribas.
“Ini bukan sekadar adat, tetapi satu simbol keharmonian yang harus diwarisi oleh generasi akan datang,” kata Datuk Mohammad Razi dalam sesi temubual selepas majlis.
Beliau turut menekankan kepentingan menerapkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk bagi memastikan warisan budaya ini terus subur dalam komuniti.
Program ini bukan sahaja menjadi medan untuk berbuka puasa bersama, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Kampung Debak Laut.-EDISI UKAS