MATU: Seramai 41 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Matu bagi kawasan Jemoreng telah menerima sijil lantikan baharu dan pelanjutan dalam satu majlis rasmi yang berlangsung pada Rabu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, menegaskan bahawa lantikan ini bukan sekadar satu jawatan, tetapi satu amanah besar untuk berkhidmat kepada masyarakat kampung.
“Pembangunan di kawasan ini terus dipergiatkan, dan KMKK disarankan untuk mengemukakan cadangan projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan perancangan yang berterusan agar setiap kampung mempunyai ‘Bank Projek’ yang boleh dilaksanakan mengikut keperluan dan keutamaan.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu menggalakkan KMKK untuk mengikuti kursus-kursus berkaitan seperti pengurusan pembangunan sosial, perundangan, dan adat bagi meningkatkan kecekapan serta integriti dalam menjalankan tugas mereka.
KMKK juga disarankan untuk sentiasa memantau perkembangan dan keperluan masyarakat kampung, mendengar keluhan mereka, serta menyalurkan maklumat kepada Pejabat Daerah atau pihak ADUN sekiranya diperlukan.
“Di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), musyawarah perlu sentiasa diadakan bagi membincangkan permasalahan dan mencari penyelesaian secara demokrasi dan adil,” ujarnya.
Sebagai rekod, penerima sijil lantikan dan pelanjutan terdiri daripada seorang Pemanca, tujuh orang Penghulu, serta 33 orang Ketua Kaum, termasuk Kapitan dan Tuai Rumah. -EDISI UKAS