KUCHING: Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kontinjen atau ‘Chef De Mission’ (CDM) bagi kontinjen Sarawak untuk Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap dalam majlis ‘Our Star Our Pride’ 100 Hari Menjelang SUKMA XXI 2024 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Khamis.
Menurutnya, Dato Gerald Rentap akan menggalas tanggungjawab yang berat dengan sasaran kontinjen Sarawak pada SUKMA kali ini untuk menjadi juara keseluruhan.
“Atas bahu beliau memang amat berat. Saya pun mendorong beliau setiap masa untuk sentiasa melawat pelbagai venue untuk menyaksikan para atlet kita jalani latihan di samping dengan saya yang membawa naratif yang Sarawak ingin menjadi juara keseluruhan bagi SUKMA kali ini,” katanya.
Tambahnya, berbaki 100 hari lagi untuk mencapai matlamat juara keseluruhan di mana ia bergantung kepada para atlet, Dato Gerald sebagai Ketua Kontinjen termasuk semua Penolong CDM termasuk pegawai-pegawai dan pelatih-pelatih yang terlibat.
Justeru itu katanya, kementeriannya melalui Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Perbadanan Sukan Sarawak telah membuat perancangan dan persiapan rapi bagi menghadapi SUKMA tahun ini terutamanya dalam menyediakan atlet-atlet yang akan membawa cabaran Sarawak kali ini.
Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim memberitahu, lima perkampungan sukan utama juga telah dikenal pasti bagi memberikan tempat penginapan kepada 15 kontinjen yang bakal bertanding di sembilan bahagian di Sarawak.
Katanya, perkampungan sukan utama adalah di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Desa Sanyan di Sibu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Mukah, Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri. -EDISI UKAS