108 Ahli JKKK Di Limbang Terima OG

Disiarkan pada 09 May 2024
Sumber Berita: UKAS



LIMBANG: Seramai 108 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Limbang menerima peruntukan dalam bentuk pemberian terus atau 'outright grant' (OG) berjumlah RM324,000.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah memberitahu, penerima OG itu terdiri daripada JKKK masyarakat Bisaya, Iban, Lun Bawang, Kelabit,Penan dan Cina bagi Parlimen Limbang. 

 

“Saya menyeru agar peruntukan yang disalurkan ini digunakan dan dimanfaatkan secara berhemah bagi membantu keperluan bersama penduduk-penduduk kampung,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Penyerahan OG di sini pada Rabu.

 

Ahli Parlimen Limbang itu juga menyeru para Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) agar menjalankan tanggungjawab dengan baik dan telus.

 

“Ini termasuk membantu kerajaan negeri dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan yang telah dilaksanakan serta memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta perpaduan dalam masyarakat,” katanya.

 

Dalam majlis sama, sejumlah RM165,000 OG diserahkan kepada JKKK dan ahli jawatankuasa Badan Kebajikan KEMAS Limbang bagi pelaksanaan projek naik taraf dewan dan jalan raya.

 

Turut hadir Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan KMKK setempat. -EDISI UKAS