BINTULU: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bahagian Bintulu dengan kerjasama Pejabat Daerah Bintulu telah menganjurkan program 'Home Visit' sempena Ramadan dan Syawal 2025 bertujuan menyampaikan bantuan kepada klien AADK di beberapa kampung sekitar daerah ini.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari pada Rabu itu melibatkan lawatan ke Kampung Sinong, Kampung Dato, Kampung Baru, dan Kampung Assyakirin.
Program ini memberi fokus kepada pengagihan bakul makanan kepada enam penerima dalam kalangan klien AADK.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban mereka menjelang Ramadan dan Syawal, tetapi juga memperkukuh hubungan sosial serta menyemai nilai kesyukuran dalam kalangan penerima.
Selain penyampaian bantuan, program ini turut menjadi platform bagi pihak penganjur untuk berinteraksi secara langsung dengan klien, mendengar pandangan mereka serta memahami cabaran yang dihadapi.
Usaha ini diharapkan dapat memberi motivasi dan sokongan moral kepada kumpulan sasar, selain memastikan mereka mendapat bantuan berterusan.
Program 'Home Visit' ini merupakan antara inisiatif AADK Bintulu dalam memastikan kebajikan klien sentiasa terjaga serta menggalakkan mereka untuk terus menjalani kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat.
Turut hadir ialah Pegawai AADK Cawangan Bintulu, Mohd Dzulfikhar Abd Rahim, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bintulu, Cathrine Sayu, serta Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bintulu, Latifah Moksen.-EDISI UKAS