ADUN Jepak Tekankan Komitmen Bantu Rakyat Dalam Program Ziarah Ramadan

Disiarkan pada 26 Mar 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTULU: Kebajikan Rakyat di Bintulu terus di beri perhatian agar dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, menegaskan komitmennya dalam memastikan tiada rakyat di Bintulu yang dibiarkan hidup dalam kesusahan.

Beliau berkata, Pejabat Pusat Khidmatnya sentiasa terbuka bagi membantu masyarakat dalam pelbagai aspek yang termampu.

Menurut Iskandar, selain pejabatnya, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, turut bersedia memberikan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

“Inilah keunikan kita di Bintulu, di Sarawak semangat perpaduan yang kukuh tanpa mengira bangsa dan agama.

Kita berganding bahu memastikan rakyat sentiasa disantuni,” katanya ketika berucap pada Program Ziarah Ramadan anjuran Tong Seng Huat (Bintulu) Sdn. Bhd. di Masjid Daerah Bintulu pada Selasa.

Dalam program itu, seramai 100 penerima dari golongan asnaf dan kurang berkemampuan dari empat kampung dalam kawasan DUN Jepak Kampung Sinong, Kampung Dato, Kampung Sebiew, dan Kampung Masjid menerima sumbangan bakul makanan daripada pihak penganjur.

Selain itu, sebanyak 450 pek bubur lambuk turut diagihkan kepada orang ramai di hadapan masjid, memeriahkan suasana Ramadan serta mengeratkan hubungan antara masyarakat.

Iskandar memuji semangat solidariti masyarakat setempat yang sentiasa bersedia membantu tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut mengapresiasi peranan sektor korporat seperti Tong Seng Huat (Bintulu) Sdn. Bhd., yang aktif dalam melaksanakan program kebajikan.

“Inilah semangat yang kita banggakan. Kita bersatu sebagai satu keluarga besar, saling membantu tanpa mengira bangsa dan agama,” ujarnya.

Beliau berharap program sebegini dapat diteruskan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

“Di Jepak, di Bintulu, kita tidak mahu ada sesiapa yang rasa terpinggir. Pintu kami sentiasa terbuka,” tambahnya.

Turut hadir dalam program ini ialah Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu yang mewakili Datuk Seri Tiong King Sing, Azman Abdul Rahman, Penolong Pengurus Tong Seng Huat (Bintulu) Sdn. Bhd., Kong Jin Ann, dan wakil Masjid Daerah Bintulu, Yusuf Ali.-EDISI UKAS